Wednesday, September 22, 2010

JURNAL 3 - Keseimbangan


PERKARA


REFLEKSI


Masalah




Analisa masalah


Keseimbangan antara kurikulum dan kokurikulum

            Keseimbangan dalam sistem pendidikan mampu lahirkan insan cemerlang. Sekiranya kita percaya kepada matlamat melahirkan insan yang sepadu dan seimbang, paradigma yang sepatutnya digunakan ialah memberikan penekanan seimbang terhadap kedua-dua komponen akademik dan kokurikulum dalam sistem pendidikan kita hari ini.

            Keseimbangan ini tidak semestinya sama dari segi masa, tenaga dan dana diperuntukkan. Jika kita mempunyai alasan kukuh untuk membahagikan masa, tenaga dan dana yang lebih kepada akademik, maka ia adalah wajar.

            Maksud seimbang di sini ialah kedua-dua komponen itu perlu diberikan perhatian sewajarnya, yang bersesuaian dengan kepentingannya dan tidak ada komponen dipinggirkan. Malangnya, sistem pendidikan kita terlalu menekankan akademik malah kita terlalu berorientasi peperiksaan.

            Justeru, apabila Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Bin Yassin mengumumkan langkah mengkaji semula sistem peperiksaan hari ini bagi mengurangkan sistem pendidikan daripada terlalu berorientasi peperiksaan, ianya patut dilihat sebagai sesuatu yang kena pada masanya.

            Namun masih ada tanda tanya iaitu adakah sistem yang tidak berorientasi peperiksaan bermakna kita tidak memberi penekanan dalam akademik?. Orientasi peperiksaan mungkin boleh dikurangkan, tetapi, sekiranya perhatian terhadap kokurikulum masih juga kurang, maka matlamat kesepaduan dan keseimbangan itu masih juga tidak dipenuhi.

            Pada kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sesi Julai 2006/2007 lalu, buat pertama kali Kementerian Pengajian Tinggi mengambil kira markah kokurikulum sebagai 10 peratus daripada keseluruhan markah yang dimiliki calon. Langkah ini baik dan dialu-alukan. Tetapi ia dibuat dengan kaedah pengiraan mereka sendiri, dan dengan tiba-tiba tanpa perancangan bersama warga sekolah menengah dan ianya telah menimbulkan kekeliruan.


PERKARA


REFLEKSI






            Pada masa sekarang Kementerian pelajaran telah menetapkan dasar memberi markah kepada kegiatan kokurikulum di sekolah rendah dan menengah. Pembabitan pelajar sama ada dalam kegiatan sukan, pakaian seragam atau kelab / persatuan akan diberi merit mengikut peringkat diwakili (sekolah, daerah, negeri, negara), jawatan (presiden, setiausaha, bendahari, jawatankuasa) dan tempoh masa penglibatan dan kehadiran.

            Markah kokurikulum juga dicatatkan pada sijil peperiksaan, misalnya SPM, iaitu sama seperti kelulusan ujian lisan dicatatkan. Jika diteliti Panduan Penilaian Aktiviti Kokurikulum yang akan digunakan, jelas bahawa untuk pertama kali dalam sejarah pendidikan kita, satu skim kokurikulum yang komprehensif diwujudkan.

            Sebenarnya, pelaksanaan dasar ini merupakan satu mercu tanda amat signifikan. Dengan mengambil kira pelbagai aspek tidak dibicarakan dalam tulisan ini, misalnya aspek spiritual, ini bermakna sistem pendidikan di sekolah akan menggunakan nisbah 90:10, iaitu 90 peratus akademik dan 10 peratus kokurikulum. Ia bermakna kokurikulum mula mendapat tempat lebih wajar. Ia juga bermakna sebahagian daripada persoalan kesepaduan dan kesimbangan itu mula kelihatan penyelesaiannya.

            Dalam konteks syarat kemasukan, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Datuk Dzulkifli Abd Razak menyatakan bahawa universiti ternama di luar negara memberikan pemberatan lebih besar terhadap kokurikulum dan ciri  disebut Profesor Universiti Harvard, Henry Rosovsky (1990) dalam bukunya The University: An Owner’s Manual sebagai subjektif, qualitatif dan tak-kuantitatif.

            Menurut Richard Bradley (2005) dalam bukunya Harvard Rules untuk memasuki Universiti Harvard, iaitu universiti terbaik di dunia, kelulusan akademik sahaja tidak memadai. Calon juga perlu mempunyai ciri seperti ahli muzik, saintis, usahawan, ahli sukan dan sebagainya yang bertaraf dunia.

            Mengenai nisbah 90:10 telah menimbulkan persoalan, bagaimana dengan sistem pendidikan di IPTA? Adakah nisbah 90:10 ini hanya digunakan untuk syarat kemasukan sahaja? Atau, adakah seluruh sistem pendidikan IPTA akan juga menggunakan nisbah sama, sehingga apabila mahasiswa menerima ijazah atau diplomanya, maka manuskripnya akan menunjukkan markah pada nisbah itu?

            Bagaimana pula dengan institusi pengajian tinggi swasta sekiranya nisbah 90:10 ini hanya digunakan sebagai syarat kemasukan ke IPTA sahaja, maka calon yang kurang markah kokurikulumnya akan bertumpu ke IPTS.


PERKARA


REFLEKSI

Cadangan
Penyelesaian























Kesimpulan

           
            Masalah keseimbangan antara kurikulum dan kokurikulum memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan. Ianya bermula dari pendidikan awal kanak-kanak iaitu di sekolah rendah. Bermula di sekolah rendah pelajar sepatutnya didedahkan dengan pelbagai aktiviti luar dan ianya perlu berterusan sehingga ke sekolah menengah.

            Sekiranya ada yang gagal akademik kerana terlalu banyak menghabiskan masa dalam kokurikulum, maka ini bukan masalah kokurikulum. Ia masalah pengurusan masa. Janganlah kokurikulum pula dipersalahkan. Kita tidak mahu kokurikulum hanya digunakan untuk memenuhi syarat kemasukan ke IPT semata-mata atau dalam konteks mahasiswa, hanya memenuhi syarat mendapatkan pekerjaan semata-mata. Jika ini paradigmanya, maka persoalan insan yang sepadu dan seimbang itu masih belum dijawab.

            Sekiranya ada yang gagal akademik walaupun masa digunakan untuk akademik dan kokurikulum adalah seimbang, maka, seperti dinyatakan seorang lagi Profesor Universiti Harvard, Harry R. Lewis (2006) dalam bukunya Excellence Without A Soul, kajian membuktikan bahawa penglibatan dalam kokurikulum yang seimbang tidak menggugat prestasi akademik.





            Apabila seseorang pelajar merosot prestasi akademik, kita cenderung untuk menyalahkan aktiviti kokurikulum. Sepatutnya, fokus kita ialah kualiti akademik ditawarkan kepadanya. Jika masalah pelajar itu ialah akademiknya, maka perbaikilah akademiknya, bukannya menyekat kokurikulumnya. Menyekat pelajar terhadap kokurikulum diminatinya bukanlah caranya untuk meningkatkan minatnya terhadap akademiknya.

            Kokurikulum mesti dilihat dengan paradigma bahawa ia mempunyai kepentingan seimbang dengan akademik. Kokurikulum mesti dilihat sebagai pelengkap kepada akademik. dan sebagai sebahagian daripada cara hidup. Justeru, kokurikulum mesti diberikan ruang lebih luas dari sekolah rendah hinggalah ke universiti.


Mohd Fakharuddin Bin Abdullah
Guru Pelatih, KPLI - Pemulihan Khas 2010, SK St Mark Perai. Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment